CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, January 21, 2009

Hidup untuk hidup..


Bismillahirrahmanirrahim

Perjalanan ini sungguh memenatkan.

Apa tidaknya, makin ke hujung semakin sukar.

Sedangkan beban bertambah.Tanggungjawab semakin sarat.

Tetapi apakah ada pilihan selain meneruskannya?

Hidup selagi hidup.

Jangan mati sebelum mati.

HAKIKAT HIDUP

Sering diri diperingatkan, kalau ada masalah di tengah jalan… teruskan perjalanan.

Apabila yakin tujuan dan matlamat tidak sesat, soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul. Ini jalan paling benar, walaupun jalan yang paling sukar. Inilah jalan yang paling singkat, walaupun terasa amat berat.

Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu.

Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik. Nafas dan aliran darah adalah modal untuk ibadah.

Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan jatuh bangun diri menuju Allah. Sabar dan syukur adalah pelita hidup yang meliuk lentuk dipukul badai kehidupan.

Tidak gusar bersendirian. Tidak tersasar ketika kesunyian.

Katakan pada diri, ketika kau sepi sendiri, di sisimu sentiasa ada PEMERHATI.



Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepanjang waktu.

Jika datang topeng kepura-puraan, itulah guru yang mengajar erti berhati-hati. Jika mampir bejana kejujuran, kau teguklah ilmu keikhlasan.

“Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik.”

“Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepanjang waktu.“

Jangan berubah pendirian, walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU.

Jadilah dirimu sendiri… insya-Allah kau akan sentiasa menjadi juara.

Tetapi jika kau berlakon, kau bertukar menjadi klon yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama.

Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.

NIKMATI HIDUP

Bertatih dengan kaki sendiri adalah lebih mulia berbanding bersayap emas milik orang lain.

Jadilah raja dalam kerajaan diri yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati. Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah.

Tidak ada istilah kalah, cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran dan iktibar.

Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini. Menyesal itu bebal, kesal itu bekal.

Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah, nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati.

Justeru, banyak yang kau buat akan terus hidup selepas mati. Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya Hari Akhirat.

Sesungguhnya hidup sebelum mati adalah bekal untuk hidup selepas mati.

Katakanlah pada diri, hidup bukan sekali.

Jadi hiduplah selagi hidup…

kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP!

0 comments: